Pengenalan. Burung Kekasih?
Ramai tertanya-tanya tentang nama Burung Kekasih. Kenapa bersembunyi dengan nama burung kekasih? Bagaimana Burung Kekasih ini tercetus? Bicara kali ini, hanya nukilan santai sebagai pengenalan dalam dunia penulisan.
Saya penulis amatur yang gemar meluahkan segala cetusan fikiran melelui penulisan. Bercita-cita ingin penjadi penulis puisi dan penulis lirik pada satu hari nanti. Namun, setiap permulaan mesti bertatih dan banyak yang perlu dipertingkat.
Tips paling berguna dan paling efektif tentulah kita perlu banyak membaca dan banyak menulis. Beralih kembali pada topik asal. Burung Kekasih ini tercetus setelah beberapa kali mencari identiti sendiri dalam dunia penulisan. Berimaginasi dan berangan-angan memang menjadi hobi kegemaran. Bak kata orang, jika ingin berjaya, perlu ada perancangan dan semangat yang besar. Dengan berimaginasi inilah saya merangka kehidupan dan mengenali diri sendiri. Mungkin sudah menjawap kenapa 'burung' menjadi sebahagian dari nama penulisan saya.
Nama 'burung' bukan simbolik itu sahaja malah luas dari itu. Selain sifat saya suka berimaginasi, saya juga suka akan kebebasan. Saya suka meneroka setiap perkara baharu. Bagi saya ilmu tidak pernah mencukupi. Bayangkan seekor burung yang bebas terbang kemana sahaja, begitulah saya. Malah, ideologi saya yang agak berbeza dari kebiasaan membuatkan saya sering memandang sesuatu dari sudut yang berbeza. Ia juga menceritakan bahawa saya mempunyai latar belakang pendidikan yang berkaitan ilmu alam.
Nama 'kekasih' menjadi gandingan yang sempurna bagi saya untuk memperkenalkan diri. Agak unik dan mempunyai beberapa karakter sendiri membuatkan ia menjadi pilihan hati. Perkataan ini menggambarkan keperempuanan dan kasih sayang. Begitulah saya. Kekasih juga adalah nama timangan saya apabila diterjemah dalam bahasa arab. Apabila dilengkapkan bersama dua perkataan tersebut, burung kekasih menceritakan sosok fizikal dan personaliti saya.
Burung kekasih adalah seorang penulis yang berlatarbelakangkan pendidikan dalam bidang yang berkaitan biologi. Seorang yang suka akan kebebasan dan gemar berimaginasi sebagai perangka langkah kehidupan dan pembakar semangat dalam apa jua keadaan.
Selamat bertemu kembali. Saya tinggalkan penulisan ini dengan serangkap pantun.
Menganyam ketupat di tepi para,
Buat sedia sambutan syawal,
Sebelum melipat tulisan dara,
Ucapan dahlia pertemuan awal.
Comments
Post a Comment