Syurga atau neraka?


Astana cinta yang digembar-gemburkan menjadi puncak kejayaan. Di dalamnya penuh keajaiban yang tak terjangkau oleh mata dan fikiran. Mengalir di dalamnya sungai-sungai yang berbeza di antara mereka. Singgahsana yang bermewahan mutia, kencana dan intan. Berdampingan bidadari hadiah buat yang mengerti tujuan hidupnya.

Marak menjulang api yang kehausan bahan bakar. Ditunggu manusia dan boneka-boneka kepercayaan yang diagungkan. Kayu-kayan, batu-batan dan tanah-tanih anugerah itu disalah guna menjadi ciptaan yang diangkat darjat menjadi pencipta. Kadang di hatinya berubah dengan nikmat duniawi yang terhias hingga buta hati. Bukti keadilan tanpa pengaruh dari apapun jua itu bentuknya. 

Gelombang kecil mahupun besar yang telah berlalu dan menanti setiasa mengintai dari sisa-sisa masa. Mengejar tanpa sedar dengan derapan yang seakan mengejar mangsa untuk dihabam. Degupan jantung semakin laju dengan keringat yang bercucuran mengalir deras bagi yang memahami surat cinta itu.

Masa lalu itu guru. Masa depan itu misteri. Masa kini itu hadiah. Hadiah terindah untuk memberi peluang menggapai kain putih yang sudah menghitam dengan carikan dosa. Hadiah terindah untuk mencorak kembali kain putih itu sebelum tubuh berbalut kain kafan. Tiada kata berhenti dan tiada kata ini sudah tertulis untukku sedangkan masa masih dihadiahkan buatmu untuk melakar kain putih itu dengan usaha yang sesungguhnya.

Tertulis warkah ini khusus buat aku yang sering jauh dari dakapan cinta Pencipta dan umumnya kamu yang membaca. Sumpah yang pernah kita ucapkan bukan sekadar sumpah tanpa pembenaran dan perbuatan. Mengakui dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melakukan dengan anggota. 

Buat diriku, teruslah semangat walau lelah pasti menjelma. Teruslah bersemangat walau cubaan sudah terbentang. Jangan biarkan penyesalan kerana tiada usaha menghantuimu di alam berikutnya. Salam sejahtera buatku, kamu dan kita.

Comments